04 Januari 2010

Harga Sebuah Senyuman


sebuah kisah yang menarik..jom baca sama-sama..

...

Pernah saya bekerja sebagai jurujual dari rumah kerumah. Saya memohon kerja itu kerana terpedaya dengan iklan yang dipaprkan di surat khabar. "Pembantu pengiklanan; Pendapatan RM 1+++, Pengalaman tak diperlukan". Rasanya kalau dibuat survey ramai yang juga terpedaya seperti saya kerana pendekatan itu masih digunakan sehingga sekarang hingga menyebabkan ramai lepasan SPM atau STPM terpedaya. Ketika itu saya baru lepas SPM; anak kampung yang belum kenal dunia luar, miskin pula. Selepas di interview pengurusnya mengucapkan tahniah dan minta saya bawa beg pakaian kerana saya akan dihantar untuk kursus esoknya. Berbekalkan RM 30 yang diberikan oleh ibu saya, saya dihantar ke Kelantan dan mula dihantar dari satu kampung ke satu kampung. Kerana tak cukup duit, syarikat berikan advance untuk makan menyebabkan saya terikat dan terpaksa bekerja untuk beberapa bulan agar saya dapat selesaikan advance yang diberi dan dapat pulang dengan sedikit wang. Pada masa itu pula, mana ada telefon apatah lagi handphone. Kalau bukan kerana komisyen yang terlalu tinggi dan harga yang tak berpatutan dengan barang yang dijual saya masih boleh melakukan kerja tersebut sebaliknya harga getah gas berautomatik itu terlalu tinggi menyebabkan saya rasa bersalah dan menzalimi pembeli.

Saya menggunakan istilah "terpedaya" kerana penggunaan istilah yang tidak menggambarkan hakikat pekerjaan yang sebenarnya dan banyak lagi istilah-istilah lain yang digunakan untuk menutup hakikat jurujual yang bergerak dari rumah ke rumah atau dari pejabat ke pejabat dan sebagainya. Saya pernah juga menghadiri satu temuduga untuk jawatan "Pembantu Operasi" dengan tawaran gaji lebih RM 2000. Ketika itu saya baru tamat pengajian dalam pengurusan perniagaan memang tertarik dengan tawaran tersebut. Sehari selepas interview saya terus diminta berkerja....rupa-rupanya jurujual juga. Itulah hari pertama dan terakhir saya bekerja dengan syarikat itu. Saya tidak memandang hina kerja jurujual tetapi saya merasakan jiwa saya tak sesuai untuk pekerjaan begitu walaupun komisyennya memang tinggi bahkan rasanya tak berpadanan dengan harga barang. Namun saya tetap melihat kaedah pengiklanan itu sebagai satu penipuan.

Walaupun saya tidak suka dengan kerja begini tetapi dengan tempoh beberapa bulan itu banyak juga pengalaman yang saya dapat. Ketika dihantar ke satu kampung cina; saya melihat seorang rakan sekerja (berbangsa cina) saya keluar dari sebuah rumah. Tuan rumah tersebut; nyonya yang umurnya sekitar 50an menggeleng kepala menggambarkan keengganannya membeli barangan tersebut. Setelah kawan saya pergi agak jauh, sayapun mengetuk pintu rumah tadi. Setelah melihat saya dari atas kebawah dan nyonya itupun perasan beg yang saya bawa sama seperti rakan sekerja saya tadi, nyonya itupun terus geleng kepala. "Tak mau la. lu punya barang manyak mahal" katanya. Dari air mukanya saya dapat rasakan, memang nyoya itu berminat cuma dia rasa harganya agak mahal (memang mahalpun; getah gas bernilai RM 49.90, kalau satu set dengan kepala gas biasa saja cuma design agak menarik RM 89.90). "Betulka?, Boleh saya tengok untie punya dapur" Jawab saya sambil mencari jalan untuk masuk kerumah. Nyonya tadi lalu membuka pintunya dan membawa saya kedapur. Sampai didapur sayapun terus buka semua komponen dapurnya satu persatu. Setelah semuanya saya tanggalkan, sayapun pasang balik (nampak macam orang bodoh, buka lepas tu pasang semula). Sebenarnya saya perlukan masa untuk ambil hati nyonya tadi.

Ketika dalam proses saya memasang semula dapurnya itu, sayapun memulakan perbualan. Setelah semuanya siap dipasang, sayapun tanya pada nyonya itu lagi sekali, "untie nak beli ke barang saya ni? Lalu jawabnya ringkas "lu pasangla satu set, nanti saya bayar." Saya pun pasang sebagaimana yang diminta. Ketika dimuka pintu, sebelum meninggalkan rumah tersebut saya sempat bertanyaklan satu soalan "Untie, saya mau tanyala, tadi, saya punya kawan orang cina dan untie pun orang cina tapi untie tak beli. Sekarang saya orang melayu dan untie orang cina tapi untie beli satu set dan tak minta kurang harga, apa pasal?" ... "Ooo..lu lain, lu banyak senyum-senyum" jawabnya ringkas.

Jadi itulah antara harga sebuah senyuman; sedeqah yang mententeram jiwa orang lain. Kata pak Agym, senyuman itu bukan menyangkut persoalan pergerakan bibir tetapi mau atau tidak kita membahagiakan orang lain. Ternyata Rasululullah SAW sendiri seorang yang mudah tersenyum kenapa kita yang mengikrarkan kasih dan rindu serta menyatakan baginda sebagai qudwah kita masih terlalu sukar untuk senyum terutama kepada orang yang pertama kali kita temui.

Ketika sampai di jeti Kuah, Langkawi, saya dan beberapa fasi melalui satu lorong yang dikiri kanannya adalah pemilik-pemilik kereta sewa. Seperti biasa, siapa saja yang lalu mereka akan tawarkan untuk menyewa kereta mereka sambil menghulurkan business card mereka. Dan seperti yang biasa orang lakukan pelajar dan juga faci yang selalu bantu program-program yang saya conduct memasamkan muka sambil menggeleng pada setiap 'penunggu-penunggu' setia jeti Kuah itu. Ketika menunggu kehadiran kereta yang akan membawa kami ke hotel yang menganjurkan program saya bertanya padanya; "Rasa-rasanya kalau Rasululullah SAW ditempat kita bagaimana agaknya sikap baginda?, Tentu baginda akan hadiahkan senyuman yang cukup manis dan mesra bahkan kalau ada kesempatan tentunya baginda akan tanyakan 3 perkara; namanya, pekerjaannya dan tempat asalnya." "Bukankah sepatutnya beginilah cara kita mengunkapkan cinta dan rindu kita pada Rasul" Tambah saya lagi. Saya tidak menyalahkannya untuk bersikap begitu kerana begitulah cara masyarakat hari ini membuktikan cinta Rasul; berarak, bernasyid, berceramah dan sebagainya tetapi saya sering mengingatkan pelajar-pelajar yang saya anggap sebagai anak-anak saya sendiri supaya tidak terkeliru dengan cara masyarakat membuktikan cinta mereka; keluarlah dengan wajah yang mesra, penuh kemaafan dan baik sangka dan sentiasa mencari peluang untuk memberi sentuhan keimanan kepada mereka. Masyarakat hari ini hidup dalam dunia yang menekan dan menyempitkan dada mereka. Keluarlah dan bergaullah dengan 'wajah-wajah keimanan'. Wajah-wajah yang menggambarkan kasih sayang dan ukhuwah yang menjadikan lapang dada sebagai tahap terendah dan itsar sebagai kemuncaknya; wajah-wajah yang sentiasa tersenyum dan bersedia untuk memaafkan.

Tiada ulasan: